Anugerah Allah yang paling
utama dan istimewa kepada manusia ialah ilmu. Ilmu penting menjamin kejayaan
manusia di dunia dan di akhirat. Ilmu juga prasyarat untuk mencapai kemajuan
didunia dan sebagai alat dalm mencapai kesempurnaan di akhirat kelak.
Kebolehan menguasai ilmu
berbeza mengikut kemampuan mental dan intelek seseorang. Namun, tuntutan
menuntut ilmu adalah wajib kepada umat islam yang mukallaf terutama ilmu
berkaitan fardhu ain.
Setelah selesai memahami
ilmu fardhu ain, digalakkan menuntut ilmu fardhu kifayah yang amat luas
skopnya. Individu dan Negara dapat meningkat ke mercu kejayaan menerusi ilmu
pengetahuan yang sememangnya tidak ada batasan baginya.
Ilmu manusia lebih utama
Ilmu
meletak manusia lebih utama daripada makhluk
Allah SWT yang lain, bahkan lebih tinggi daripada malaikat. Nyatalah
penghormatan ini tidak diberikan kepada manusia kerana kecekapan dan kekuatan
mental dan fizikal tetapi berdasarkan kepada ilmu yang dimiliki.
Oleh itu, tidak hairanlah mengapa sewaktu Allah SWT
menjadikan manusia, Dia lengkapkan manusia dengan ilmu supaya manusia
menggunakannya dengan betul dan wajar dalam mencapai hasrat sama ada kebendaan
atau kerohanian. Dalam erti kata lain, manusia diberi alat menerusi ilmu
pengetahuan untuk mengeksploitasi dan menggunakan sumber alam semaksimum
mungkin bagi manfaat diri mereka. Satu-satunya perkara yang menghadkan kemajuan
manusia ialah kegagalan menggunakan ilmu secara bijaksana.
Penekanan
Al-Quran mengenai pembelajaran menunjukkan kemajuan dalam bidang agama, ekonomi
dan politik bergantung kepada ilmu pengetahuan yang dimiliki. Bahkan seluruh
falsafah yang menyanjungi Al-Quran berdiri atas ilmu yang memungkinkan mertabat
rohani dan jasmani manusia diangkat.
Ini jelas
terbukti menerusi kenyataan bahawa manusia pertama diberi penghormatan
berbanding makhluk lain adalah dengan ilmu. Firman Allah SWT: “Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekian
makhluk).” (surah al-Alaq, ayat 1)
Jatuh ke lembah kegelapan
Allah SWT
menghendaki manusia membongkar rahsia alam ini seterusnya mencari tanda-tanda
kekuasaan Allah SWT. Apabila manusia tidak mahu berusaha menguasai ilmu, maka
manusia akan jatuh ke lembah kegelapan dan kejahilan. Seterusnya manusia akan
membuat penafsiran yang tidak ilmiah mengenai kehidupan dan alam semesta yang
bercanggah dengan ajaran Al-Quran. Jika direnungkan sejenak dapatlah dilihat
betapa ajaib dan indahnya kuasa Allah SWT.
Firman
Allah SWT: “Dan berapa banyak tanda
kekuasaan Allah di langit dan bumi yang mereka menyaksikannnya berulang-ulang
semasa mereka pergi datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan
memikirkannya.” (Surah Yusuf, ayat 105)
Keghairahan
terhadap mencari serta mempelajari ilmu sebenarnya merangsang usaha penyelidikan
manusia sehingga membuka peluang yang tidak ada hadnya bagi manusia dalam semua
bidang pemikiran dan tindakan.
Bawa ilmu ke mana saja
Pencapaian
generasi awal Islam yang cemerlang dalam setiap bidang ilmu dan kesenian kerana
kemana saja pergi, mereka membawa ilmu yang memperkayakan kebudayaan serta
peradaban Negara yang mereka diami.
Eropah serta seluruh dunia
Islam terhutang budi kepada Islam dan Nabi Muhammad SAW kerana kemajuan dalam
bidang keilmuan. Namun malang sekali kerana setiap bidang keilmuan dalam dunia
barat mengambil titik-tolak yang salah.
Sebagai umat Islam kita
meyakini segala bidang ilmu adalah berpaksikan kepada Allah SWT, daripada Allah
ilmu datang, kepada Allah ilmu kembali. Semoga dengan ilmu yang sedikit demi
sedikit kita pelajari akan mendapat rahmat yang besar daripada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment