Friday, September 13, 2013

SIAPA AKU DI DEPAN TUHANKU




Subuhnya :   

          Dimana aku berada, masih enak dalam kelambu rindu sambil berfoya-foya dengan waktu, masa bagaikan menderu, langkah tiada arah tuju, fikiran terus bercelaru terlupa, aku semakin di hujung waktu, siapa aku di depan Tuhanku.

Zuhurnya : 

          Aku lebih memikirkan kelaparan, kehausan dan rehatku, aku lebih mementingkan tuntutan jawatan ku, aku bertolak ansur dengan waktu, aku gembira membilang keuntungan, aku terlupa betapa besar kerugian, jika menggadaikan sebuah ketaatan, siapa aku di depan Tuhanku

Asarnya : 

          Aku lupa warna masa, cepat berubah bagaikan ditolak-tolak, aku masih dengan secawan kopiku, terlupa panas tidak dihujung kepala, aku masih bercerita tentang si Tuah yang setia dan si Jebat yang derhaka, siapa aku di depan Tuhanku si Jebat derhaka, siapa aku di depan Tuhanku.

Maghribnya :

          Aku melihat warna malam, tetapi aku masih berlegar di sebalik tabirnya, mencari sisa-sisa keseronokkan, tidak terasa ruang masa yang singkat, jalan yang bertongkat-tongkat, ruginya bertingkat-tingkat, siapa aku di depan Tuhanku.


Isya’nya : 

          Kerana masanya panjang, aku membiarkan penat menghimpit dadaku, aku membiar kan kelesuan mengganggu ku, aku rela terlena sambil menarik selimut biru, bercumbu-cumbu dgn waktu ku, Siapa aku di depan Tuhanku.


       Kini aku menjadi tertanya-tanya, sampai bila aku akan melambatkan sujudku, apabila azan berkumandang lagi, aku tidak akan membiarakan masjid menjadi sepi, kerana di hujung hidup ada mati, bagaimana jenazah akan dibawa sembahyang. Di sini jika ruangku dibiarkan kosong, jika wajahku menjadi asing pada mentari dan juga bintang-bintang.


 “ Sesiapa yangg membuat perancangan adalah orang yang bermimpi. Sesiapa yang hanya bekerja adalah hamba kepada pekerjaan,tetapi sesiapa yang bekerja menurut perancangn maka dialah yang akan memperoleh kejayaan ” 

Wednesday, September 11, 2013

UNSUR-UNSUR ROH SOLAT

     
 
Terdapat unsur-unsur yang menjiwai sembahyang (solat). Tanpa unsur-unsur ini tidak dapat disebut mendirikan sembahyang. Sembahyang tidak sempurna (hanya kerangka sembahyang) tanpa roh yang menjiwai sembahyang. Tanpa unsur-unsur ini, sembahyang tidak akan khusyuk. Bila mendirikan solat harus mempunyai unsur-unsur :

  1. Kehaziran hati
  2. Kefahaman
  3. Pengagungan dan Penghormatan
  4. Takut dan kagum kebesaran Allah
  5. Mendambakan harapan
  6. Rasa malu

PENGERTIAN UNSUR-UNSUR ROH SOLAT

1. Kehaziran Hati

Kehaziran hati ialah kosongnya hati dari segala sesuatu yang tidak ada hubungannya dengan apa yang sedang dilakukan ataupun diucapkannya. Kesedarannya meliputi perbuatan dan ucapannya, yang tidk pernah berpisah dari kedua-duanya. Fikirannya pun tidak melayang tentu arah. Apabila fikiran tertumpu pada perbuatan dan ucapan dalam sembahyang serta hati penuh dengan sebutan tentangnya, tidak ada kelalaian apapun maka itulah yang disebut kehaziran hti. Maksud kehaziran hati adalah kehaziran hati batin.

2. Kefahaman

Usaha pemahaman secara mendalam tentang makna yang terkandung dalam suatu ucapan. Akan tetapi, ia tidak selalu bersama-sama kehaziran hati. Ada ketika hti seseorang hazir bersama suatu ucapan tetapi tidak hazir bersama makna ucapan itu. Maksud kefahaman ialah adanya usaha untuk memahami makna suatu ucapan. Dalam hal ini, manusia memiliki tingkatan yang berbeza. Sudah tentu tidak sama pemahamannya tentang makna ayat-ayat Al-Quran serta bacaan tasbih dan sebagainya. Terdapat banyak makna indah dan lembut yang dapat difaham oleh orang yang sedang sembahyang, padahal sebelum itu tidak pernah terlintas dalam hatinya.
Oleh sebab itulah sembahyang dinyatakan sebagai pencegah perbuatan keji dan mungkr kerana sembahyang memberikan petunjuk tentang hal-hal yang dapat membawa kepada kekejian.

3. Pengagungan Dan Penghormatan  


Pengagungan dan penghormatan adalah sesuatu yang lain dari kehaziran hati dan kefahaman. Mungkin seseorang bercakap dengan orang bawahannya dengan cakapan yang sedar dan faham makna-maknanya, namun percakapan itu tidak disertai dengan pengagungan dan penghormatan terhadap orang bawahannya itu. Jadi, pengagungan dan penghormatan adalah sesuatu yang tidak harus bersama kehaziran hati dan kefahaman. Unsur ini berdiri dengan sendirinya sebelum mendirikan sembahyang dan selam seseorang itu kuat beribadat kepada Allah SWT.

4.Takut Dan Kagum Kebesaran Tuhan

Takut dan kagum kebesaran Tuham adalah suatu sikap melebihi pengagungan dan penghormatan sebab sikap ini adalah rasa gentar dan sangat takut kerana kagum akan kebesaran Tuhan.              Tanpa gentar tidaklah dinamakan kagum dalam kegentaran. Misalnya gentar terhadap kala jengking tidaklah disebut kagum dalam kegentaran ( kerana tidak disertai penghormatan dan mengagungkan ). Tetapi, kegentaran terhadap seorang raja yang berkuasa dapatlah dinamakan kagum dalam kegentaran yang bersumberkan pengagungan dan penghormatan. Apatah lagi takut dan kgum kebesaran Allah SWT.

5. Mendambakan Harapan

        Mendambakan Harapan adalah sesuatu yang lain dari unsur-unsur di atas. Unsur ini tidak mempunyai kaitan dari unsur-unsur yang telah dikemukakan. Betapa ramai orang yang mengagungkan seorang raja, merasa takut kepadanya serta takut akan dihukumnya tetapi tidak mengharapkan ganjaran darinya. Seorang hamba Allah yang mendirikan sembahyang biasanya mengharapkan ganjaran Nya (mendambakan harapan) atas sembahyangnya itu, sebagaimanaia takut hukuman Nya, disebabkan kelalaiannya.

6. Rasa Malu   

      Rasa malu adalah perasaan yang berada diluar unsur-unsur yang telah dikemukakan. Unsur ini juga menguasai unsur-unsur  lainnya sebab bersumber kepada rasa hina dan rasa berdosa kerana menyia-nyiakan perintah Allah SWT.Dalam diri orang yang beriman sudah sujud unsur-unsur penghormatan dan pengagungan serta ketakutan dan harapan sedangkan rasa malu timbul iaitu bila orang itu telah menyedari dirinya lalai atau berbuat dosa. Rasa malu kepada Allah SWT.


Dari penjelasan unsur-unsur di atas, dapatlah kita faham makna atau pengertian dari tiap-tiap unsur itu. Berpunca serta berlandaskan pada unsur-unsur tersebut, apabila seseorang mendirikan sembahyang maka kerangka sembahyang  telah dijiwai atau dengan kata lain sembahyang yang khusyuk kepada Allah SWT.

Monday, September 9, 2013

ILMU JAMINAN KEJAYAAN DUNIA & AKHIRAT



Anugerah Allah yang paling utama dan istimewa kepada manusia ialah ilmu. Ilmu penting menjamin kejayaan manusia di dunia dan di akhirat. Ilmu juga prasyarat untuk mencapai kemajuan didunia dan sebagai alat dalm mencapai kesempurnaan di akhirat kelak.
Kebolehan menguasai ilmu berbeza mengikut kemampuan mental dan intelek seseorang. Namun, tuntutan menuntut ilmu adalah wajib kepada umat islam yang mukallaf terutama ilmu berkaitan fardhu ain.
Setelah selesai memahami ilmu fardhu ain, digalakkan menuntut ilmu fardhu kifayah yang amat luas skopnya. Individu dan Negara dapat meningkat ke mercu kejayaan menerusi ilmu pengetahuan yang sememangnya tidak ada batasan baginya.

Ilmu manusia lebih utama

        Ilmu meletak manusia lebih utama daripada makhluk  Allah SWT yang lain, bahkan lebih tinggi daripada malaikat. Nyatalah penghormatan ini tidak diberikan kepada manusia kerana kecekapan dan kekuatan mental dan fizikal tetapi berdasarkan kepada ilmu yang dimiliki.
Oleh itu, tidak hairanlah mengapa sewaktu Allah SWT menjadikan manusia, Dia lengkapkan manusia dengan ilmu supaya manusia menggunakannya dengan betul dan wajar dalam mencapai hasrat sama ada kebendaan atau kerohanian. Dalam erti kata lain, manusia diberi alat menerusi ilmu pengetahuan untuk mengeksploitasi dan menggunakan sumber alam semaksimum mungkin bagi manfaat diri mereka. Satu-satunya perkara yang menghadkan kemajuan manusia ialah kegagalan menggunakan ilmu secara bijaksana.
        Penekanan Al-Quran mengenai pembelajaran menunjukkan kemajuan dalam bidang agama, ekonomi dan politik bergantung kepada ilmu pengetahuan yang dimiliki. Bahkan seluruh falsafah yang menyanjungi Al-Quran berdiri atas ilmu yang memungkinkan mertabat rohani dan jasmani manusia diangkat.
        Ini jelas terbukti menerusi kenyataan bahawa manusia pertama diberi penghormatan berbanding makhluk lain adalah dengan ilmu. Firman Allah SWT: “Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekian makhluk).” (surah al-Alaq, ayat 1)

Jatuh ke lembah kegelapan

        Allah SWT menghendaki manusia membongkar rahsia alam ini seterusnya mencari tanda-tanda kekuasaan Allah SWT. Apabila manusia tidak mahu berusaha menguasai ilmu, maka manusia akan jatuh ke lembah kegelapan dan kejahilan. Seterusnya manusia akan membuat penafsiran yang tidak ilmiah mengenai kehidupan dan alam semesta yang bercanggah dengan ajaran Al-Quran. Jika direnungkan sejenak dapatlah dilihat betapa ajaib dan indahnya kuasa Allah SWT.
        Firman Allah SWT: “Dan berapa banyak tanda kekuasaan Allah di langit dan bumi yang mereka menyaksikannnya berulang-ulang semasa mereka pergi datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.” (Surah Yusuf, ayat 105)
        Keghairahan terhadap mencari serta mempelajari ilmu sebenarnya merangsang usaha penyelidikan manusia sehingga membuka peluang yang tidak ada hadnya bagi manusia dalam semua bidang pemikiran dan tindakan.

Bawa ilmu ke mana saja

        Pencapaian generasi awal Islam yang cemerlang dalam setiap bidang ilmu dan kesenian kerana kemana saja pergi, mereka membawa ilmu yang memperkayakan kebudayaan serta peradaban Negara yang mereka diami.
Eropah serta seluruh dunia Islam terhutang budi kepada Islam dan Nabi Muhammad SAW kerana kemajuan dalam bidang keilmuan. Namun malang sekali kerana setiap bidang keilmuan dalam dunia barat mengambil titik-tolak yang salah.
Sebagai umat Islam kita meyakini segala bidang ilmu adalah berpaksikan kepada Allah SWT, daripada Allah ilmu datang, kepada Allah ilmu kembali. Semoga dengan ilmu yang sedikit demi sedikit kita pelajari akan mendapat rahmat yang besar daripada Allah SWT.

Thursday, September 5, 2013

PENAWAR JIWA


KENAPA AKU DIUJI ?
“ Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan, “Kami telah beriman…”, sedangkan mereka tidak diuji ? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang dusta ”
( Surah Al-Ankabut ayat 2-3 )

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN ?
“ Bolehkah kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui ”
( Surah Al-Baqarah ayat 286 )

RASA FRUST ?
“ Janganlah kamu bersikap lemah , dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman ” ( Surah Al-Imran ayat 139 )

BAGAIMANA AKU HARUS MENGHADAPINYA ?
“ Dan mintalah pertolongan ( kepada Allah ) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya  sembahyang itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk ” ( Surah Al-Baqarah ayat 45 )

 “ Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia ( diperbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu berjaya.” ( Surah Al-Imran ayat 200)

APA YANG AKU DAPAT DARI SEMUA INI?
“ Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka……”
( Surah At-Taubah ayat 11 )

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

“ Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal” ( Surah At-Taubah ayat 129 )