Kelebihan Istighfar | Kisah Imam Ahmad Ibnu Hambal mengenai kelebihan istighfar.
Pada suatu hari, Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah ingin menghabiskan
malamnya di sebuah masjid, tetapi penjaga masjid tidak membenarkannya
(mungkin kerana dia tidak mengenali Imam Ahmad bin Hambal). Puas Imam
Ahmad bin Hambal memujuk penjaga masjid tersebut, namun tidak berhasil. Sehingga akhirnya Imam Ahmad bin Hambal berkata: “Aku akan tidur di atas
kakiku sendiri (yakni tidur berdiri).” Dan sememangnya Imam Ahmad bin
Hambal tidur dalam keadaan tersebut. Melihatkan keadaan itu, penjaga
masjid tersebut tetap tidak berpuas hati, lalu dihalaunya Imam Ahmad bin
Hanbal keluar dari masjid tersebut. Kelihatan Imam Ahmad tenang dan tampak pada raut wajahnya ciri-ciri
seorang insan yang mulia. Dalam situasi itu, seorang pembuat roti telah
melihatnya. Lantas dia membawa Imam Ahmad keluar dari kawasan masjid itu
dan menawarkan kepadanya tempat untuk bermalam.
Maka Imam Ahmad pun beredar bersama pembuat roti itu dan beliau telah
dilayan dengan layanan yang baik. Kemudian si pembuat roti itu pun
meninggalkan Imam berehat dan dia pergi menguli tepung. Imam Ahmad
mendengar pembuat roti itu beristighfar tanpa henti sepanjang malam. Ini
membuatkan Imam Ahmad berasa kagum terhadapnya.Apabila menjelang pagi, Imam Ahmad bertanya kepada pembuat roti itu
tentang istighfarnya malam tadi: “Apakah kamu dapat hasil dari
istighfarmu itu? Imam Ahmad sengaja bertanyakan soalan ini sedangkan
beliau sudah mengetahui kelebihan dan faedah istighfar. Pembuat roti menjawab: “Ya, demi Allah aku tidak berdoa dengan satu doa
pun kecuali ia akan dikabulkan Allah. Cuma ada satu doa lagi yang masih
belum diperkenankan.” Imam Ahmad bertanya: “Apakah doa itu?”
Pembuat roti pun berkata: “Aku sangat menginginkan bertemu dan melihat
Imam Ahmad bin Hambal.” Lantas Imam Ahmad berkata: “Akulah Ahmad bin
Hambal! Demi Allah, sesungguhnya aku telah dibawa oleh Allah kepadamu!”