Friday, November 21, 2014

Bagaimana Keadaan Seseorang Ketika Dalam Kubur ?



          Bagaimana Keadaan Seseorang Ketika Dalam Kubur ? | Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila si mati dikuburkan.., datanglah kepadanya dua Malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya disebut dengan nama “Munkar” dan yang satulagi disebut dengan nama “Nakir”, (lalu keduanya mendudukan si mati itu setelah dikembalikan rohnya ke dalam jasadnya) kemudian mereka menyoalnya:”Apa yang pernah engkau katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?” (dan pada satu riwayat oleh Abu Daud:


          Mereka bertanya kepadanya: “Apa yang engkau pernah sembah?” Maka kalau Allah memberi hidayah pertunjuk kepadanya, ia akan menjawab dengan berkata: “Aku menyembah Allah!” Kemudian ia ditanya lagi: “Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?” (Dan pada satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga: Mereka menyoalnya dengan berkata: “Siapa Tuhanmu?” Ia menjawab: “Tuhanku ialah Allah!” Mereka bertanya lagi: “Apa agama mu?” Ia menjawab: “Agamaku ialah Islam!” Mereka bertanya lagi: “Siapa dia orang yang telah diutuskan dalam kalangan kamu)?” Maka kalau si mati seorang yang beriman, ia akan menjawab dengan berkata: “Orang itu (Muhammad s.a.w) ialah hamba Allah dan RasulNya, aku mengetahui serta meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu ialah hamba Allah dan RasulNya!”


          Mereka berkata kepadanya: “Kami sedia mengetahui bahawa engkau mengakui yang demikian”; (Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud bahawa Baginda s.a.w bersabda: “Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: “Sungguh benar hamba-Ku, maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Syurga, dan pakaikanlah dia pakaian dari Syurga, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Syurga”. “Rasulullah s.a.w bersabda lagi: “Lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan keharumannya ); kemudian dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh hasta persegi, dan diberikan cahaya yang menerangi kuburnya; kemudian dikatakan kepadanya: “Tidurlah!” Lalu ia berkata: “Bolehkah aku balik kepada keluargaku supaya dapat aku ceritakan kebaikan halku?”

          Dua Malaikat itu berkata kepadanya: “Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan dari tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya; Demikianlah halnya sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu. Jika si mati itu seoarang munafik, ia menjawab pertanyaan Malaikat itu dengan katanya: “Aku dengar orang berkata demikian, maka aku pun turut berkata sama; aku tidak tahu benarkah atau tidak”. Lalu dua Malaikat itu berkata: “Memang kami tahu engkau berkata demikian”; (dan menurut satu riwayat oleh Abu Daud: “Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: “Sesungguhnya orang itu berdusta maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Neraka, dan pakaikanlah dia dari Neraka, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Neraka”. Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: “Lalu datang kepadanya sebahagian dari bahang Neraka dan udara panasnya) kemudian diperintahkan bumi supaya mengapitnya lalu bumi mengapitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya, maka tinggallah ia dalam azab itu terus menerus ke masa Allah bangkitkan dia dari kuburnya.”

Monday, June 30, 2014

CERIAKAN DIRIMU


Abu Yazid Al Busthami, pelopor sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut. Dengan murung lelaki itu mengadu,"Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas yang enggan mencari rezeki. Tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?"
Sang Guru menjawab sederhana, "Perbaiki penampilanmu dan ubahlah riak mukamu. Kau tahu, Rasulullah adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah, salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya." Lelaki itu tertunduk. Ia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya. Wajahnya sentiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh.

Alhamdulillah sesudah itu ia tak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah. Keserasian selalu dijaga. Sikapnya ramah,wajahnya sentiasa mengulum senyum bersahabat. Riak mukanya berseri.

Tidak hairan jika Imam Hasan Al Basri berpendapat, awal keberhasilan sesuatu pekerjaan adalah riak muka yang ramah dan penuh senyum. Bahkan Rasulullah menegaskan, senyum adalah sedekah paling murah tetapi paling besar pahalanya. Demikian pula seorang suami atau seorang isteri.

Alangkah celakanya rumah tangga jika suami isteri selalu berwajah tegang. Sebab tak ada persoalan yang diselesaikan dengan mudah melalui kekeruhan dan ketegangan. Dalam hati yang tenang, pikiran yang dingin dan wajah cerah, Inshaa Allah, apapun persoalannya nescaya dapat diatasi. Inilah yang dinamakan keluarga sakinah, yang didalamnya penuh dengan cinta dan kasih sayang.
…Terima kesusahan dengan sabar..tanpa mengeluh..nescaya hidup diberkati…
…Selamat Menyambut Ramadhan Al- Mubarak…

Friday, May 9, 2014

KELEBIHAN ISTIGHFAR


Kelebihan Istighfar | Kisah Imam Ahmad Ibnu Hambal mengenai kelebihan istighfar.


           Pada suatu hari, Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah ingin menghabiskan malamnya di sebuah masjid, tetapi penjaga masjid tidak membenarkannya (mungkin kerana dia tidak mengenali Imam Ahmad bin Hambal). Puas Imam Ahmad bin Hambal memujuk penjaga masjid tersebut, namun tidak berhasil. Sehingga akhirnya Imam Ahmad bin Hambal berkata: “Aku akan tidur di atas kakiku sendiri (yakni tidur berdiri).” Dan sememangnya Imam Ahmad bin Hambal tidur dalam keadaan tersebut. Melihatkan keadaan itu, penjaga masjid tersebut tetap tidak berpuas hati, lalu dihalaunya Imam Ahmad bin Hanbal keluar dari masjid tersebut. Kelihatan Imam Ahmad tenang dan tampak pada raut wajahnya ciri-ciri seorang insan yang mulia. Dalam situasi itu, seorang pembuat roti telah melihatnya. Lantas dia membawa Imam Ahmad keluar dari kawasan masjid itu dan menawarkan kepadanya tempat untuk bermalam.
Maka Imam Ahmad pun beredar bersama pembuat roti itu dan beliau telah dilayan dengan layanan yang baik. Kemudian si pembuat roti itu pun meninggalkan Imam berehat dan dia pergi menguli tepung. Imam Ahmad mendengar pembuat roti itu beristighfar tanpa henti sepanjang malam. Ini membuatkan Imam Ahmad berasa kagum terhadapnya.Apabila menjelang pagi, Imam Ahmad bertanya kepada pembuat roti itu tentang istighfarnya malam tadi: “Apakah kamu dapat hasil dari istighfarmu itu? Imam Ahmad sengaja bertanyakan soalan ini sedangkan beliau sudah mengetahui kelebihan dan faedah istighfar. Pembuat roti menjawab: “Ya, demi Allah aku tidak berdoa dengan satu doa pun kecuali ia akan dikabulkan Allah. Cuma ada satu doa lagi yang masih belum diperkenankan.” Imam Ahmad bertanya: “Apakah doa itu?”

 Pembuat roti pun berkata: “Aku sangat menginginkan bertemu dan melihat Imam Ahmad bin Hambal.” Lantas Imam Ahmad berkata: “Akulah Ahmad bin Hambal! Demi Allah, sesungguhnya aku telah dibawa oleh Allah kepadamu!”

Friday, February 21, 2014

Taubat Nasuha Dan Cara Melaksanakan Solat Sunat Taubat

Taubat Nasuha Dan Cara Melaksanakan Solat Sunat Taubat. Dalam islam seluas-luas pintu adalah pintu taubat. Allah S.W.T tidak akan jemu untuk mengampunkan hambaNya selagi hambNya percaya bahawasanya Allah S.W.T adalah satu-satunya Tuhan Yang Maha Mengampunkan hambaNya.




Dalam kalangan kita,mungkin ramai yang ingin bertaubat namun tidak tahu ke mana arah untuk mencari panduan. Berdampinglah dengan orang-orang soleh, jagalah solat, bacalah Al-Quran.



ALLAH swt sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At-Tahrim: 8.)



Allah telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya: “Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)






Syarat-syarat taubat :



1. Ikhlas ingin bertaubat

2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi

3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan

4. Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya

5. Dikerjakan sebelum ajal tiba



Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.



Waktu melaksanakan taubat :



Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.



Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati beerti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya



Firman Allah: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Az-Zumar: 30)



Di samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera.



Cara melaksanakan solat taubat :



Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap kiblat;



1. Waktu di lakukan – bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu makruh tahrim utk melakukan solat)*. Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2 pagi ke atas), semasa Qiyamullail



2. Lafaz niat: “Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.” (Cukup di dalam hati, ada perbahasan ulama’ tentang lafaz niat dlm ibadah – sila rujuk kpd pakar feqah)



3. Rakaat pertama membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.



4. Rakaat kedua membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.



5. Semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),



Ertinya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”



6. Selepas salam, perbanyakkan istighfar seperti,



Ertinya: Ampunilah hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba bertaubat kepada Engkau ya Allah.



7. dan berdoa dengan Penghulu Istighfar,



Ertinya: “Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”



8. Kemudian boleh juga berdoa mengikut luahan hati dan munajat masing-masing ke hadhrat Allah.



———————————————————–



*Makruh tahrim – Petikan dari “170 Solat-Solat Sunat”, Abd Rahman Mukhlis, Terbitan Jasmin Enterprise, ms 8-9 ;



Fuqaha Syafi’iyah berpendapat bahawa makruh tahrim hukumnya melaksanakan sembahyang sunat tanpa sebab, dan sembahyang itu dipandang tidak sah jika dilakukan dalam lima waktu berikut:



1. Selepas sembahyang Subuh yang dilaksanakan secara tunai (bukan sembahyang qadha’), hingga matahari menyingsing sepenggalah.



2. Ketika matahari terbit hingga menyingsing seperti galah.



3. Selepas melakukan sembahyang Asar yang dilaksanakan secara tunai sekalipun ia dijamak dengan Zuhur pada waktu Zuhur (jamak taqdim).



4. Ketika matahari berwarna kuning, hingga terbenam seluruhnya.



5. Ketika matahari benar-benar berada di atas kepala (di tengah-tengah langit) hingga gelincir ke Barat. Kecuali waktu Istiwa’ (matahari berada di tengah-tengah langit pada hari Jumaat.



Bagaimanapun, jika sembahyang yang dilakukan itu ada sebab yang mendahuluinya seperti sembahyang Tahiyyatul Masjid, walaupun khatib sudah berada di atas mimbar, sembahyang Sunat Wuduk dan sembahyang Sunat Tawaf sebanyak dua rakaat.



Begitu juga sembahyang yang mempunyai waktu terkait (muqayyad), seperti sembahyang Istisqa’ dan sembahyang Gerhana Matahari. Maka hukumnya adalah sah tanpa dimakruhkan, sebab ia terkait dengan turunnya hujan dan terhalangnya cahaya matahari.



Adapun melaksanakan sembahyang sunat ketika bilal qamat adalah makruh tanzih, kecuali ketika qamat sembahyang Jumaat. Sembahyang sunat yang dilakukan ketika bilal sudah qamat pada sembahyang Jumaat adalah haram hukumnya.



p/s : jangan pernah jemu untuk memohon keampunan kerana syaitan tidak pernah jemu untuk menarik anak Adam untuk bersamamya didalam neraka..nauzubillah..

Thursday, January 30, 2014

Hakikat Mengherdik Anak Yatim

Disember 8, 2013, kami seramai 36 orang menghadiri jemputan Majlis Makan Malam Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah di hotel Shangri-La Kuala Lumpur.
Itu kali pertama untuk anak-anak kami dijamu di sebuah hotel mewah bertaraf 5 bintang. Namun semuanya berakhir tidak seperti yang dijanjikan.
Bermula sekitar 3 minggu sebelum itu, seorang Dato’, wakil dari Yayasan datang ke rumah kami.
Pada mulanya, agak angkuh bahasanya kerana beliau katakan melalui wakil kami En. Pitry Dato’ Bahrim yang beliau sangat sibuk jadualnya dan jika beliau terasa nak datang, beliau akan datang sahaja. Di situ saja kami sudah terpaksa mengurut dada bersabar dan bersangka baik, beliau mungkin ada banyak urusan.
Maka, kami kompromi untuk menyesuaikan diri kami mengikut masa Dato’ ini. Jika diikutkan, kami tidak harap pun untuk terlibat dalam majlis yang bakal dianjurkan tetapi kami melihat sebagai satu jemputan yang mana mereka berkehendakkan anak-anak kami untuk memeriahkan majlis malah menyanyikan 2 buah lagu dalam koir.
Pertemuan pertama ditangguh banyak kali, begitu juga pertemuan lain yang diaturkan juga ditangguh dan dan dibatalkan tanpa notis atau dengan notis minit akhir sedangkan anak-anak kami telah buat persiapan sepanjang hari untuk kononnya menunjukkan progress latihan lagu-lagu yang diminta untuk dinyanyikan.
Lebih dari 4 kali berjanji semuanya tidak ditepati. Nak kata ON pun tidak, nak kata CANCEL juga tak pasti. Beberapa kali anak-anak menunggu sepanjang hari sampai ke lewat malam kerana Si Dato’ janji nak datang tengahari. Hancur semua program kem cuti sekolah gara-gara acara ini.
Dalam kesabaran anak-anak diuji begitu sekali, Dato’ yang memetik nama Tuanku Sultanah Haminah membawa titah meminta anak-anak memainkan lagu “Minta Sedeqah” yang bertajuk “Tolong Kami” dendangan asal Allayarham Tan Sri P. Ramlee. Anak-anak kami sudah kami didik untuk tidak meminta-minta.
Furqan mereka mengatakan, adakah wajar kami nyanyikan lagu ini? Namun kami pujuk mereka mengatakan lagu ini kita nyanyikan UNTUK PIHAK YAYASAN yang mahu mengutip derma, bukan kita. Di dalam benak kami, masih kami berbaik sangka sedang pada ketika ini kami sudah lihat seperti ada yang tidak kena.
Bukanlah kami ini sombong kerana tidak meminta derma.
Tetapi kami lebih suka berbuat sebaiknya, dan jika ada yang simpati dan suka, mereka boleh memberi dengan ikhlas atas dasar kasih suci kerana Allah, bukan kerana kami meminta-minta.
Begitulah seterusnya, pelbagai janji kunjungan untuk pemeriksaan latihan, latihan bersama combo DBKL, pertemuan bersama composer, mesyuarat protocol, nak bawa anak ke Istana dan entah apa-apa, kesemuanya dibatalkan tanpa notis.
Kehadiran terakhir Dato’ ini beberapa hari sebelum majlis membawa titah lagi, iaitu minta anak berlatih lagu Yayasan terkini oleh Dato’ Siti Nurhaliza yang bernada tinggi kerana beliau tidak dapat hadir. Hancur suara anak-anak sampai ada yang sakit tonsil, ada yang demam termasuk vokalis utama.
Kem Cuti Sekolah yang menjadi rutin tahunan kami kepada anak-anak kami tergendala sepanjang 3 minggu untuk latihan koir dan MENUNGGU janji yang tidak ditepati oleh munafik ini.
PADA PETANG MAJLIS Program rehearsal protokol adat istiadat dan latihan bersama okestra DBKL yang dijanjikan jam 10 pagi ditunda jam 1 ptg. Itupun tertangguh lagi. Lagu “Ampuni kami” yang diminta telah dibatalkan.
Lagu itu mungkin terlalu Islamik, mencacatkan majlis kerana mereka belum bersedia untuk beristighfar lagi agaknya. Lagu “Tema Yayasan” yang membuatkan anak-anak demam dan pecah suara turut dibatalkan. Yang diminta ialah lagu “Minta sedekah”.
Itu pun di’trimmed’ menjadi 3 ++ minit dengan versi mereka, bukan versi yang kami latih anak-anak.
Segalanya harus dirombak semula dalam masa beberapa jam itu juga. Janji untuk latihan secara live bersama Okestra juga mendukacitakan. Kami diberi rakaman minus-one yang entah apa-apa. Mereka sibuk melatih Jamal Abdillah, Jaclin Victor dan seorang penyanyi India.
Anak-anak kena jadi pak pacak berdiri memerhati penyanyi Diva berlatih. Hampir jam 7, mereka kata masa dah tak ada. Anak-anak tak perlu berlatih dengan Okestra. Kami kata apa sudah jadi?
Lagu diubah senikata, nada dan kunci. Semua 3 lagu yang dilatih dibatalkan semuanya.
Akhirnya dapatlah berlatih HANYA 1 KALI bersama okestra. Nak minta tambah mikrofon pun mereka tak bagi.
Dato’ menjanjikan 3-4 buah bilik yang akan menjadi tempat berehat dan persiapan anak-anak lelaki dan perempuan sebelum persembahan.
Makan pagi dan tengahari tak perlu risau katanya kerana ia juga telah disediakan. Dato’ juga dengan yakin menjanjikan meja anak yatim di barisan depan, sebaris meja utama Tuanku Sultan.
Anak-anak ini akan diraikan sebagai VVIP dalam majlis itu.
Nama majlis itu sendiri adalah untuk meraikan anak-anak yatim kononnya.
Berubah dari janji awal jam 10 am, kami dipanggil jam 12 tengahari untuk mengadakan rehearsal penuh bersama combo DBKL dan mesyuarat protokol pada jam 1 petang.
Kami diingatkan untuk tidak lewat agar tidak menjadi masalah kepada Pegawai Protokol Istana sedangkan beberapa kali pegawai protokol dan combo DBKL janji untuk hadir ke RPWP terus senyap begitu saja..! Sebelum jam 12 tengahari, kami sudah berada di sana.
Pada ketika ini, kami terbiar terkontang kanting sendirian apabila Dato’ yang menjadi individu pengatur kami di sana gagal dihubungi.
Telefon tidak berangkat, mesej tidak berjawab. Keadaan berterusan sehingga beliau sendiri muncul pada sekitar jam 4 petang. Waktu itu anak-anak sudah kelaparan dan bergelimpangan atas lantai tepi tandas.
Anak-anak diberikan satu rakaman dan memaksa mereka ikut rentak baru yang diringkaskan itu, nada dan senikata semua kena ubah semula.
Kami yang hadir awal akhirnya tiada taklimat protokol dan juga tiada rehearsal selain penyelarasan mikrofon sahaja.
Dengan Dato’ masih terus gagal dihubungi, 36 orang rombongan yang DIJEMPUT SEBAGAI VVIP ini menjadi gelandangan di tepi tandas lobi bawah berhadapan dengan ballroom yang mewah.
Anak-anak sudah mengeluh lapar dan makanan di hotel kesemuanya terlampau mahal untuk kami beli.
Bilik yang dijanjikan juga tiada, menyebabkan anak lelaki dan perempuan terpaksa menjadi gelandangan di atas karpet hotel sementara menunggu jam 6 petang untuk waktu rehearsal yang BARU.
Pada mulanya, di luar ballroom itu ada juga beberapa set sofa untuk kami 35 orang menunggu dengan perut yang kelaparan, tetapi sehingga jam 2.30 petang, pihak hotel telah mengalihkan kesemua sofa yang tinggal untuk di bawa ke tempat lain. Barangkali itu cara mereka mengusir kita dari bersidaian di lobi itu dan mencemar pandangan ‘orang-orang tertentu’.
Tambahan pula lobi itu menjadi persiapan satu parti sosial yang macam “sial” lucahnya.
Anak-anak geleng kepala, bagaimana majlis Ketua Agama Negara dibuat di tempat dan masa yang sama dengan majlis maksiat yang bertelanjangan dan mabuk-mabuk semuanya?
Kami tiada pilihan selain menunggu dengan bersila di atas lantai.
Lebih memalukan, di antara 36 orang ini ialah Pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin, Dr. Haji Masjuki Mohd Musuri yang dahulu adalah usahawan yang berjaya.
Sekadar Shangri-La bukanlah sebuah hotel yang asing pada beliau.
Beliau sendiri memfakirkan kesemua kekayaan dan segala harta yang ada pada beliau termasuk diri beliau sendiri untuk pembangunan Rumah Pengasih Warga Prihatin DISOKONG oleh 19 lagi “co-founder” yang lainnya.
Dr. Masjuki masih tenang sambil berbaring di lantai dek kerana kepenatan dalam mempersiapkan anak-anak selama tempoh 3 minggu.
Salah seorang dari co-founder mencadangkan kepada beliau untuk balik dan tidak beserta dalam program makan malam yayasan itu. Dr. Masjuki menjawab, ikutkan hati begitulah juga.
Tetapi kerana hormat akan Tuanku Sultanah dan prinsip mendaulatkan Sistem Beraja, beliau telan sahaja layanan buruk yang sedang berlaku ketika itu.
Seolah-olah kehadiran kami di sana tidak wujud dan tiada siapa yang kisah sekumpulan 36 orang dari Rumah Pengasih Warga Prihatin ini menjadi gelandangan di situ. Tiada yang prihatin untuk tanya sudah makan ataupun belum.
Perut anak-anak sudah berkeroncong. Setelah pasti tiada lunch dari Dato’ penganjur yang tidak nampak muka, kami terpaksa menghantar wakil untuk mencari makanan luar. Jam 4 petang, wakil kami pun berjalan lebih 2km untuk mencari makanan yang wajar untuk mengalas perut anak-anak.
Dalam menunggu makanan itu sampai, Dato’ dari Yayasan itu tiba-tiba muncul. Tidak ada bahasa lagi kerana kehadiran beliau terus meluru kepada anak-anak untuk dipalau memalu kompang, bukan nak tanya dah makan ke belum? Dah dapat bilik ke belum?.
Beliau hanya memeriksa apa yang beliau rasa perlu untuk persembahan malam itu. Tidak pula beliau menemui, jauh sekali meminta maaf terus kepada Dr. Masjuki, seorang OKU yang jelas dilihat terbaring di lantai penjuru dinding itu.
Jam 5 petang kami diberikan 2 bilik kecil. Sebaik saja kami anak beranak mula makan makanan yang dibeli setelah berjalan merata bandar itu, 5.30 petang baru kami dijemput ‘makan tengahari’. Rehearsal pula akan bermula jam 6 petang.
Itu bermakna, tiada rehat langsung. Kami ambil keputusan hanya anak-anak nisak dan ibu-ibu saja turun makan, yang lain cukup alas perut makanan yang telah dibeli.
Jelaslah satu pembuktian dari sangkaan kami bahawa insan ini hanya memikirkan tentang ‘perutnya’ sahaja tanpa mengira akan kebajikan dan perasaan orang lain.
Minta maaf diberikan lebih kurang sahaja.
Mungkin malu YANG AMAT BESAR lalu mereka berdua tidak berani berhadapan dengan co-founder, sampai kami pulang.
KONFLIK REHEARSAL Sebelum makan malam, sesi rehearsal bersama combo DBKL hampir dibatalkan kerana kesuntukan masa.
Mereka dahulukan latihan seorang anak India, Jamal dan Jaclin Victor sampai lancar.
Dengan tegas kami katakan kami dipanggil untuk rehersal dan tidak diberi peluang langsung.
Kami akan tinggalkan majlis kerana tidak mahu mengorbankan maruah anak-anak kami untuk membuat persembahan tanpa latihan.
Akhirnya anak-anak diberi peluang untuk mencuba.
Alhamdulillah latihan agak lancar biarpun Cuma sekali.
Padahal anak-anak ramai yang DEMAM dan KEPENATAN, terutama sekali anak perempuan kami yang tidak boleh selamba-selamba baring di atas karpet dan secara tak langsung membenarkan orang yang lalu lalang memerhatikan tubuh mereka yang sedang tidur itu.
Mereka sudah diajar tentang aurat itu bukan sekadar BALUT tetapi menutupi dan juga postur yang nampak dan menggamit aura.
Apapun, prinsip kami adalah untuk melakukan apa sahaja dengan bersungguh sungguh.
Memang kami didik anak anak kami untuk mendaulatkan Raja.
Atas alasan itu juga kami teruskan persembahan dengan bersungguh sungguh walaupun tidak dilayan seperti yang dijanjikan sejak menjejak kaki di hotel pagi itu.
Jika ini jemputan komersial biasa, pasti kami sudah tinggalkan sahaja majlis itu.
MALAM MAJLIS Kami jenuh menenangkan anak-anak kami yang terkurung awal dalam dewan, asyik bertanya kenapa maghrib itu tidak solat berjemaah macam biasa? Mereka juga pelik kerana dikatakan VVIP majlis, tapi diletakkan di tepi dinding HUJUNG dewan.
Ada 5 meja untuk anak-anak yatim termasuk dari 2 sekolah tahfiz di sekitar Kuala Lumpur berada dalam barisan “VVIP” kami di sebelah dapur.
Hiasan bunga di atas meja juga tidak sama.
Menu makanan yang sepatutnya menu masakan Cina pada malam itu tetapi yang sampai ke meja anak-anak “VVIP” majlis hanyalah “makanan gorengan mudah” dan tidak ditambah apabila habis.
Mujur kami didik anak kami untuk tidak gelojoh dalam menjamah.
Seorang sudah terbiasa ambil satu dan tidak lebih. Tetapi kami sempat jeling meja anak-anak tahfiz dan yatim yang lain di sebelah kami yang licin tak berbaki.
Ada anak tahfiz yang baru 9 tahun umurnya mengatakan masih lapar.
Sebak kami mendengarnya kerana mereka juga senasib dengan kami dan kami juga rasa ia tidak mengenyangkan anak-anak kami.
Malang bagi mereka kerana murobbi mereka tidak ada bersama untuk membela.
Majlis yang dihadiri seorang Ketua Agama Negara itu menyaksikan seolah-olah satu pertunjukan fesyen pula.
Anak-anak kami yang diletak di belakang asyik bertanya..> “Ayah, ayah… boleh ke makcik tu pakai tudung baju ketat begitu?” pakai tudung tapi dada terbelah begitu? “Boleh ke pakai sopan tapi kain terbelah sehingga ke pangkal paha?” “Kenapa pakaian Makcik itu terbelah di belakang”… Dan macam-macam lagi soalan yang terpaksa kami jawab kepada anak-anak kami.
Baik juga kerana boleh kami tunjukkan mana baik dan mana yang buruk. Pada kami, ia seperti satu penghinaan kepada seorang ketua Agama Negara Islam yang berdaulat dengan tetamu majlis berpakaian secara jahilliyah.
Duduk sahaja Sultan dan Sultanah, seorang MC wanita membuka tirai program dengan mempersilakan sebuah tarian kebudayaan persembahan JKKN.
Hati kami terdetik, di manakah daulat Ketua Agama Islam apabila disambut dengan tarian kebudayaan dan sepanjang aturcara sehingga pulang tiada langsung doa dibacakan.
Kami berbaik sangka lagi, mungkin kerana berkompromi dengan kira-kira 10-20% tetamu beragama lain.
Di dalam ucapan Dato’ Wira yang juga orang kuat kepada Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah, beliau menyatakan highlight program-program sepanjang tahun yang lalu.
Kami mendengar dengan khusyuk. Pastinya dalam program yang singkat, beliau memberikan highlight kepada program yang paling besar sahaja.
Antara program yang dinyatakan ialah seperti; 1. Lawatan ke rumah anak yatim 2. Pembelian baju kelengkapan sekolah untuk 200 orang anak yatim 3. Sunat beramai-ramai (50 orang).
Dengan kutipan derma berjumlah RM2.3 JUTA diumumkan pada malam itu, kami sebagai pentadbir Rumah Pengasih Warga Prihatin dengan 109 orang warga berani katakan kesemua program di atas itu sepatutnya tidak menelan belanja lebih dari RM100,000.
Jika di”lajak”kan sekalipun mungkin boleh cecah RM500,000 dan ia masih jauh dari kutipan yang diperolehi.
Kami tak mahu menyangka-nyangka tentang ini, cukuplah kami tinggalkan satu persoalan di sini.
Dalam ucapan Dato’ Wira, beliau membacakan banyak hadith tentang anak-anak yatim.
Antaranya adalah pesanan untuk tidak mengherdik anak yatim.
Namun bagi kami, mengherdik itu tidaklah hanya terhad kepada meninggikan suara kepada anak-anak yatim.
Apabila hak asas mereka mendapat makanan itu juga dinafikan, kami kira itu lebih dari satu herdikan halal seorang guru kepada muridnya.
Kedudukan meja VVIP yatim, Jenis makanan berbeza untuk VVIP yatim, bilik rehat dan makan tengahari yang dijanjikan kesemuanya gambaran MENGHERDIK secara hakikat.
Yang paling penting ialah bagaimana mereka mengeksploitasi anak-anak yatim semahunya untuk kepentingan kutipan yang kami tidak pasti untuk apa. Sejak 8 tahun dengan residen seramai 109 orang, kami di RPWP jalankan usaha dengan cara berpuasa.
Semua co-founder mengeluarkan dana dan tenaga sendiri mentadbir rumah ini.
Mungkin pada malam itu, sebahagian pegawai Yayasan memandang kami yang MENGIRING ini sama seperti mereka yang mendapat faedah dari kutipan tetapi di sebalik itu mereka mungkin tidak Nampak, Dr Masjuki sendiri bukan bertambah kaya setelah menubuhkan RPWP sebaliknya terus menjadi fakir.
Begitu juga co-founder yang lain. Semuanya korbankan harta masing-masing dahulu dan tidak mengharap derma untuk menjalankan program harian kami.
Kami sedar, mereka rupanya tidak cukup atau mungkin tiada anak yatim di bawah naungan mereka. Anak-anak kami diwajibkan memakai badge Yayasan dan dengan itu ucapan Dato’ Wira boleh memberikan highlight kepada Sultanah yang di dalam ballroom pada malam itu ada 66 orang anak-anak yatim.
Pengacara Aznil jelas mengatakan Yayasan yang memberikan penempatan untuk anak-anak kami kerana lencana Yayasan itu, atau mungkin diminta berkata begitu.
Jelas kami dah faham. Sebuah yayasan yang sebenarnya tidak / kurang memiliki atau menjaga anak-anak yatim secara sistematik, juga tiada laman web yang aktif dengan facebook yang baru 300 likes membuat makan malam dengan menggunakan Nama Sultanah Kedah (Permaisuri Agong) bagi mengutip derma korporat dan persendirian dengan jumlah yang banyak.
Kami tak mahu melanjutkannya seperti ia satu tuduhan yang pasti, tetapi yang nyata kami hanya di bawa untuk menyanyikan lagu “minta sedekah” dan langsung diletak di hujung dewan TANPA ADA SEORANG PUN pegawai Yayasan yang sudi menjengah meja-meja yang “Kononnya VVIP” itu.
Kehadiran anak-anak yatim di hujung dewan hanya satu lesen bagi penganjur mengatakan mereka ada anak yatim dan juga membuka simpati penderma untuk menderma lagi.
Operasi kami memelihara 109 orang anak yatim dan asnaf yang menjadi residen berbeza sekali. Di atas tanah seluas setengah ekar dengan kos pembinaan, makanan berkhasiat, pendidikan dari pakar pendidik.
Prasarana asas yang memadai yang kami bina sendiri secara gotong royong lebih dari 8 tahun lalu.
Belanja bulanan kami hanya sekitar RM35,000-45,000 sebulan. Bukan mewah tetapi mencukup. Jika dihitung selama 1 tahun, kos operasi kami adalah sekitar RM500,000 sahaja.
Semuanya berkat infaq dan hasil perniagaan kecil kecilan yang kami tabungkan kesemuanya. Kuncinya ialah PUASA. Kami pihak co-founder MELABUR harta dan diri kami, BUKANNYA mengambil sebahagian untung dari pendapatan derma.
INILAH JULUNG KALI kami izinkan anak-anak kami turutserta dalam program malam amal setelah bertahun-tahun kami menolak permintaan banyak pihak lain untuk menggunakan
Nama kami untuk tujuan ini.
Dan apa saja penyelewengan yang kami bimbangkan jelas terjadi pada kali pertama ini juga.
Kami kecewa dengan apa yang berlaku.
Kami pasti Tuanku Permaisuri Agong juga akan kecewa jika mengetahui perkara sebenar di belakang tabir.
Kami pula tiada laluan memandangkan laluan untuk kami menyuarakan perkara ini bagi pihak Yayasan mengambil pelajaran seperti tertutup.
Maka, artikel ini kami karang supaya ia menjadi pelajaran kepada yang lain-lain.
Jika ada laluan yang lebih baik untuk kami memaklumkan perkara ini kepada Kebawah Duli Tuanku, pasti kami juga tidak gemar menyampaikannya dalam rencana terbuka sebegini.
Sebelum ini kita dengar ada rumah-rumah anak yatim dari utara Malaysia yang anak-anaknya dikerah menjual barang dan meminta derma kononnya mereka daif.
Tetapi dilihat, pengasasnya berkereta mewah dan akhirnya ia diharamkan.
Rupanya, kita mungkin akan saksikan apa yang terjadi ini adalah satu scam berprofil tinggi.
Pengutipan derma untuk anak yatim tanpa ada anak yatimnya.
Sebagai hamba rakyat, kami tidak rela jika nama raja yang menyayangi anak-anak yatim dan asnaf digunakan untuk kepentingan segolongan manusia.
Ramai yang meminta kami menyaman penganjur, namun itu bukan kerja kami.
Banyak lagi urusan kami yang lain untuk anak-anak ini. Cukuplah kisah ini diambil pelajarannya oleh masyarakat.
Para pengasas tidak hairan dengan makanan dan bilik hotel.
Tapi apa yg dilakukan terhadap anak-anak kami SANGAT KAMI TIDAK RELA.! Kerana kami sayang mereka, kami tatang mereka macam minyak yang SANGAT penuh.
Sila ikuti beberapa klip video sebagai pengesahan berita.
http://prihatin.net.my/v3/2013/12/23/petikan-perbualan-wakil-dymm-seri-paduka-baginda-ydp-agong/
http://prihatin.net.my/v3/2013/12/23/di-sebalik-tabir-suasana-sambutan-ketibaan-dan-keberangkatan-pulang-tuanku-dymm-spb-ydp-agong/
http://prihatin.net.my/v3/2013/12/22/persembahan-khas-anak-anak-rpwp-di-hadapan-dymm-spbydp-agong-tolong-kami/
http://prihatin.net.my/v3/2013/12/04/rakaman-latihan-nasyid-untuk-persembahan-istana-di-hadapan-dymm-ydp-agong/